BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, August 24, 2009

****** PENGERTIAN KEGELISAHAN ******


Kegelisahan ialah sifat manusia. Dalam pengertian yang umum, ia adalah merujuk kepada reaksi emosi yang lazimnya dialami dalam keadaan apabila seseorang individu itu merasakan dirinya terancam. Sebagai contoh, seorang pelajar berasa gelisah apabila menjelang peperiksaan. Kegelisahan ini disebut kegelisahan normal (Ramli,1990).

Menurut Trimmer (1970), kegelisahan ialah fenomena membela diri, di mana banyak ciri-ciri kegelisahan seperti debaran jantung, bukaan anak mata yang luas, dan ketegangan urat saraf adalah sebenarnya menyediakan seseorang bagi menghindarkan ancaman-ancaman kepada dirinya. Akan tetapi, kegelisahan dianggap kecelaruan emosi dan penyakit sekiranya reaksi itu mucul tanpa sebab-sebab yang munasabah sebagai pencetusnya.

Altrocchi (1980) mendefinisikan kegelisahan berdasarkan kecelaruan emosi atau penyakit sebagai, “…perasaan yang tidak menyenangkan yang dialami oleh seseorang ketika ketiadaan ancaman daripada luaran yang dapat dipastikan, danperasaan yang merupakan tindak balas terhadap cetusan-cetusan kejiwaan yang tidak realistik”.

Zakiah (1970) pula mengatakan kegelisahan adalah gangguan perasaan disebabkan gangguan kesihatan mental. Ia adalah keadaan di maan perasaan menjadi tidak menentu, panik dan takut tanpa mengetahui apa yang ditakutkan dan tidak dapat menghilangkan perasaan gelisah dan mencemaskan itu.

Walau bagaimanapun, Islam menganggap fenomena kegelisahan suatu masalah rohaniah berhubung dengan akidah dan keimanan seseorang. Perbincangan tentang kegelisahan di dalam Islam menyentu aspek fizikal dan spiritual seseorang tanpa mengasing-asingkannya. Justeru itu, kegelisahan dianggap penyakita hati dan dapat diubati dengan memantapkan keimanan seseorang kepada Allah S.W.T.

Ibnu Qayyim (1990) di dalam bukunya Al-Ruth mendefinisikan kegelisahan sebagai, “…sifat lemah di dalam jiwa dan perasaan takut di dalam hati yang dicetuskan oleh sifat sangat tamak dan kedekut” (hal. 503).

Keterangan dan penjelasan tentang pengertian kegelisahan daripada tokoh-tokoh di atas menunjukkan kegelisahan adalah perasaan yang memang wujud dan merupaka reaksi biasa yang dialami oleh seseorang apabila berdepan dengan ancaman atau tekanan. Kegelisahan terjadi akibat kegagalan mengendalikan sikap dan perasaan positif terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan. Oleh sebab keupayaan dan daya tahan seseorang individu dengan indiividu yang lain juga tidak serupa, kegelisahan boleh menjadi penyakit yang merbahaya dan dapat menjadi penyebab kepada penyakit-penyakit saraf dan psikosomatik yang serius. Kegelisahan menyebabkan ramai orang menderita dan menjejaskan keharmonian hidup. Kegelisahan perlu ditangani dengan wajar oleh setiap orang yang menghadapinya supaya dia mampu menghadapi hidup ini dengan ceria dan positif dan seterusnya mampu menyubangkan kepada kemakmuran bangsa, agama dan negaranya.

0 comments: